|  KUALA LUMPUR, 14 sept: Timbalan  Presiden PAS Mohamad Sabu hari ini menyaman akhbar Utusan Malaysia  ekoran penyiaran satu berita yang didakwa memfitnahnya berhubung isu  komunis. 
 Saman tersebut difailkan pagi tadi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui firma guaman Tetuan Mohamed Hanipa & Associates.
 
 Ianya  berikutan laporan muka depan akhbar Umno itu pada 27 Ogos lalu bertajuk  "Mohamd Sabu Hina Pejuang, Anggap Pengganas Komunis Hero Sebenar  Tragedi Bukit Kepong" yang didakwanya sebagai fitnah.
 
 "Saya hanya  mempertahankan diri dan mengelak daripada fitnah terutama tuduhan  komunis, tuduhan sebagai pengganas dan mempertikai aqidah.
 
 "Fitnah-fitnah  yang disebutkan tadi boleh menyebabkan keselamatan saya dan keluarga  saya terjejas, maka kita perlu ambil tindakan undang-undang," kata  Mohamad pada sidang medianya di Pejabat Agung PAS hari ini.
 
 Turut serta pada sidang media itu peguam mewakilinya, Hanipa Maidin.
 
 
  Menurut  Hanipa, saman tersebut menamakan dua pihak iaitu Ketua Pengarang  Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak dan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad  sebagai pencetak dan penerbit akhbar berbahasa Melayu itu. 
 Antara yang dituntut termasuklah ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.
 
 Bagaimanapun jumlah ganti rugi tersebut tidak ditentukan dan bergantung kepada tafsiran mahkamah.
 
 Dalam  laporan Utusan Malaysia 27 Ogos lalu, akhbar itu menyiarkan Mohamad  Sabu sebagai mendakwa Mat Indera, lelaki yang didakwa bersekongkol  dengan Goh Pen Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya  25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam  serangan di balai tersebut.
 
 Bagaimanapun laporan itu dakwa  Mohamad sebagai tidak benar dan fitnah kerana beliau tidak pernah  mengaitkan Mat Indera dengan Komunis namun dilapor sebaliknya oleh  Utusan Malaysia.
 
 Ekoran laopran itu juga menurut Mohamad, beliau  dan anggota keluarganya yang lain menerima pelbagai ugutan termasuk  dalam bentuk khidmat pesanan ringkas (SMS) seperti ‘awak patut  bertaubat, awak berbohong dan jangan sampai ada yang simbah asid ke atas  isteri dan anak perempuan kamu.’
 
 Beliau berkata, ada juga  mendesak beliau dibuang negara, termasuk dikenakan Akta Keselamatan  Dalam Negeri (ISA), selepas laporan akhbar didakwa memesongkan  kenyataannya
 | 
No comments:
Post a Comment