Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas dakwaan mengeluarkan kenyataan yang memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka dalam ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor, pada 21 Ogos lalu.
Beliau mengaku tidak bersalah, sebentar tadi.
Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam.
Selain itu, beliau turut berdepan dengan pertuduhan pilihan mengikut seksyen sama dengan dakwaan memfitnah tiga anggota polis yang mempertahankan diri dalam serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950.
Pihak pendakwa meminta jaminan RM50,000 dikenakan  ke atas Mohamad tetapi selepas dibantah peguam Mohamed Hanipa Maiden,  mahkamah membebaskan pemimpin PAS itu dengan RM15,000 sehingga hari  perbicaraan.
Jika bersalah Mohamad menghadapi kemungkinan dipenjarakan sehingga dua tahun, atau didenda atau kedua-duanya sekali.
Kelakar tetapi seronok
Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin kemudiannya menetapkan sebutan kes paad 27 Oktober dan perbicaraan daripada 5 Disember hingga 9 Disember.
Ketika diminta mengulas, Mat Sabu berkata beliau telah menjangkakan tindakan mahkamah itu.
"Kes ini adalah mengenai interpretasi sejarah dan sepatutnya diselesaikan melalui dialog dan debat, bukannya di mahkamah.
"Bagaimanapun, oleh kerana ia adalah kes mahkamah, kita akan berdepan dengannya,” katanya.
Menurut  Mat Sabu, kerajaan mula kehilangan sokongan rakyat, khususnya golongan  muda dan terpaksa menggunakan kekerasan dan undang-undang bagi  mengurangkan pengaruhnya.
Beliau juga menyifatkan tindakan  menyelesaikan perbezaan pandangan mengenai sejarah di dalam mahkamah  adalah sesuatu yang kelakar.
"Ini kes mengenai sejarah, tunggulah nanti. Kes ini akan jadi seronok dan menarik," katanya.
Beliau  juga menyifatkan dakwaan ini sebagai usaha untuk menghentikan rakyat  dari membincangkan fakta sejarah yang telah diselewengkan atas  kepentingan Umno.
Sementara itu, ratusan penyokong pemimpin PAS berkumpul di luar pekarangan mahkamah sejak jam 8 pagi tadi bagi memberi sokongan.
Turut kelihatan Timbalan Pesuruhjaya PAS I negeri, Khalid Man dan Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow.
Mereka kemudiannya secara sukarela mengumpul wang dan menderma bagi mengikat jamin Mat Sabu.
Utusan Malaysia pada  27 Ogos lalu melaporkan pemimpin parti   Islam itu dalam ceramahnya di  Pulau Pinang sebagai berkata, Mat Indera   wira sebenar dalam tragedi  itu dan bukannya "polis British".
Ucapan   itu  mencetuskan kontroversi besar dan dikritik pelbagai pihak,   terutamanya  pemimpin BN dan meleret kepada polemik kemerdekaan negara   dan sama  ada negara ini pernah dijajah.
 
 
No comments:
Post a Comment