Di dalam kesibukan dan kegembiraan orang menguruskan anak-anak masuk ke sekolah bermula hari ini, lain pula ceritanya di Kg Selayang Pandang kerana berlaku kecelakaan @ musibah yang tidak diundang. Bencana yang berlaku sekitar pukul 2.30 petang semalam adalah runtuhan tanah di tebing Sungai di Kg Selayang Pandang. Lokasinya adalah di belakang rumah Imam Masjid Kg Selayang Pandang iaitu Hj Saad.
Musibah tebing sungai yang runtuh tersebut telah mengakibatkan ruang dapur rumah Imam Saad runtuh sama menyembah bumi. Penyelaras DUN Taman Templer, Tn Hj Mohamad Abd Rahman bersama Skuadnya dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah menziarahi Imam Saad untuk menyampaikan sumbangan dan juga memberikan taklimat berkenaan dengan keselamatan struktur rumah tersebut.
Menurut Pegawai daripada JPS, rumah tersebut tidak selamat untuk di diami sementara waktu ini dan Imam Saad sekeluarga disarankan agar mengosongkan rumah tersebut buat sementara waktu. Pihak JPS juga akan mengambil tindakan wang sewajarnya secepat mungkin bagi mengatasi masalah tersebut. Daripada taklimat Pegawai tersebut juga kejadian tebing sungai yang runtuh adalah disebabkan oleh pelepasan air kumbahan daripada MagnaVille setiap pagi terus ke sungai tersebut. Oleh yang demikian, Pegawai JPS meminta agar pihak JKKK Kg Selayang Pandang supaya menulis surat aduan dan bantahan kepada MPS, Pejabat Tanah, JPS dan sesalinan ke SPRM untuk tindakan yang sewajarnya.
Bagi pihak PKM dan Penyelaras DUN kami mendoakan agar Imam Saad sekeluarga tabah menghadapi ujian daripada Allah SWT ini.
No comments:
Post a Comment