SHAH ALAM 10 OKTOBER - Kerajaan Negeri menghormati titah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung laporan pemeriksaan terhadap Dream Center di Damansara Utama oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan akhbar menjelaskan keputusan yang diambil DYMM Sultan Selangor merupakan satu keputusan yang terbaik dan perlu diterima oleh pihak.
“Kerajaan Negeri yakin dan percaya, titah baginda ini adalah keputusan terbaik dan adil serta mengambil kira keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini dan Malaysia amnya.
“Sebagai rakyat Selangor, kita mesti menghormati dan menerima titah ini dengan hati terbuka dan positif kerana baginda adalah ketua negeri dan tempat masyarakat berbilang kaum berlindung,” katanya.
Pada 3 Ogos lalu, kira-kira 30 anggota polis dan penguatkuasa Jais memeriksa Gereja Damansara Utama (DUMC) setelah mendapat maklumat adanya cubaan memurtadkan orang Islam di satu majlis makan malam anjuran Komuniti Harapan.
Majlis itu dihadiri antara 100 hingga 120 orang dari pelbagai kaum.
Dalam serbuan itu, JAIS dilaporkan telah memeriksa 12 individu beragama Islam yang turut hadir dalam program anjuran Harapan Komuniti.
Bagaimanapun, ia dinafikan oleh DUMC dan Komuniti Harapan.
Menurut mereka, majlis tersebut adalah acara mengutip derma bagi pesakit AIDS.
Menteri Besar menambah, Kerajaan Selangor tidak akan menoleh ke belakang lagi disebabkan isu ini, sebaliknya isu ini memberi kesedaran tentang keperluan untuk mengukuhkan penguatkuasaan Jais serta pengumpulan bukti.
Justeru, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan dalam mengukuhkan Standard Operating Procedure (SOP) di JAIS agar dapat memantau cubaan untuk memesongkan kepercayaan dan akidah umat Islam dengan teliti dan berkesan.
“Jawatan kuasa khas ini akan dianggotai tokoh perundangan dan pakar agama selain pegawai kanan kerajaan yang mana nama-nama mereka ini akan diumumkan kelak,” katanya.
No comments:
Post a Comment