Thursday, January 26, 2012

Aktiviti Turun Padang Bantuan Rakyat

Keadaan pondok yang dihuni saudara kita sekeluarga atas ehsan taukeh kilang papan




Penyelaras DUN Taman Templer, Tn Hj Mohamad bersama Skuad Rakyat berbincang sesuatu bersama saudara kita yang amat memerlukan bantuan

Lokasi: Kilang Papan (Sebelah Warta Lama)

Pondok tersebut diberi duduk secara percuma oleh taukeh kilang papan kepada saudara kita. Saudara kita sudah sekian lama tinggal di pondok tersebut setelah tidak mampu menyewa rumah lagi. Beliau telah memohon pelbagai bantuan daripada perlbagai jenis agensi kerajaan tetapi tiada satu pun yang sudi membantu.

Bayangkan masih ada saudara kita yang tinggal menumpang di kilang papan disebabkan masalah kesempitan hidup.

Pihak PKM & Pejabat Penyelaras DUN telah membawa saudara kita ini ke Pejabat Zakat untuk dipohon bantuan yang sewajarnya. Permohonan saudara kita ini sedang diproses oleh pihak zakat dan harapnya mendapat kelulusan segera.

p/s: Marilah kita sama2 membantu saudara kita ini.

BN jangan lagi tipu rakyat, ambil pengajaran Mesir

KUALA LUMPUR, 26 Jan: PAS menerusi Lajnah Antarabangsanya mendesak Kerajaan BN agar jangan lagi terus menipu rakyat menerusi pelbagai janji manis untuk melakukan perubahan terhadap perjalanan pilihanraya di negara ini.

Sebaliknya, kesemua janji tersebut mestilah dilaksanakan oleh kerajaan bagi membolehkan pilihanraya di negara ini diadakan dengan bersih, adil dan telus seperti yang dituntut oleh rakyat.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, perkembangan terkini yang berlaku di seluruh dunia terutama di Timur Tengah amat perlu dijadikan pengajaran oleh kerajaan bagi menjaga imej negara.

Menurutnya, sekiranya Kerajaan BN tidak juga mengambil iktibar terhadap kebangkitan rakyat terutama di Timur Tengah, kejadian yang sama juga pasti akan turut berlaku di negara ini yang akan memaksa rakyat bangkit ke jalan-jalan raya.

Katanya, fenomena di seluruh dunia terutama di Timur Tengah kini ternyata telah berubah yang jelas menunjukkan rakyat sudah tidak boleh disekat lagi untuk menikmati perubahan dalam pemerintahan ke arah yang lebih baik.

"Di Mesir setelah rakyat berpeluang membuat pemilihan sendiri, setelah kerajaan kuku besi regim Mubarak digulingkan oleh rakyatnya sendiri, rakyat negara itu ternyata telah memilih parti Islam untuk memerintah negara itu.

"Ini sememangnya satu perkembangan menarik yang menunjukkan rakyat di seluruh dunia kini sudah tidak lagi mampu disekat oleh kerajaan yang memerintah bagi membolehkan mereka menikmati perubahan ke arah yang lebih baik," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Keputusan pilihanraya Parlimen Mesir pada Sabtu, 21 Januari lalu menepati ramalan pelbagai pihak dengan parti-parti beraliran Islam mencatat kemenangan dan menguasai dua pertiga kerusi Parlimen di negara itu.

Keputusan akhir pemilihan Parlimen pertama Mesir setelah jatuhnya Presiden Hosni Mubarak turut menepati ramalan beberapa pihak apabila parti politik milik Ikhwanul Muslimin, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) mencapai kemenangan besar dengan meraih 47.18 peratus undi.

Dengan perolehan yang turut mengejutkan sesetengah pihak itu, Suruhanjaya Pilihanraya Mesir pada 21 Januari lalu mengumumkan, FJP akan menguasai 235 kerusi di Majlis Rakyat (Parlimen).

Tempat kedua diduduki oleh kubu konservatif, Parti Salafi al Nur dengan 25 peratus undi atau 121 kerusi, sementara parti beraliran liberal, Parti Wafd meraih 36 kerusi dan parti sekular, Koalisi Mesir memiliki 33 kerusi.

Semasa pemerintahan Presiden Hosni Mubarak, Ikhwanul Muslimin merupakan organisasi yang dilarang bergiat dalam politik dan dengan keputusan tersebut, parti-parti Islam kini telah berjaya menguasai dua pertiga kerusi Parlimen di Mesir.

Dengan keputusan itu juga, FJP kini merupakan parti utama yang menerajui kerajaan Mesir, sejajar dengan keinginan rakyat untuk menikmati kehidupan yang lebih baik di bawah pemerintahan kerajaan baru di negara itu.

Menurut Kamarudin, Lajnah Antarabangsa PAS Pusat sememangnya mengikuti dengan baik perkembangan yang berlaku di seluruh dunia termasuk di Timur Tengah.

Katanya, sebelum parti Ikhwanul Muslimin di Mesir berjaya menjadi parti yang utama bagi kerajaan baru yang memerintah negara itu, perkembangan yang memihak kepada rakyat juga telah berlaku terlebih dahulu di Tunisia.

"Kami sememangnya berbangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh rakyat Mesir dan Tunisia itu dan perkembangan yang sama pasti akan turut berlaku di seluruh dunia.

"Di negara kita juga, sekiranya pilihanraya dilaksanakan dengan bersih, adil dan telus, Kerajaan BN dah lama tumbang, tetapi kini sekiranya kerajaan tidak juga berubah, pengalaman rakyat Mesir dan Tunisia itu pasti akan dijadikan pengajaran oleh rakyat negara ini," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tumpat menegaskan, malah rakyat di negara kita kini telah mulai bangkit sehingga menyebabkan mereka menjadi begitu waspada dengan segala janji manis yang ditaburkan oleh pihak Kerajaan BN agar tidak tertipu lagi seperti sebelum ini.

"Rakyat berharap agar kerajaan tidak lagi terus menekan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan SPR melaksanakan tanggungjawabnya dengan bebas dan baik, termasuk dengan melaksanakan 8 tuntutan Bersih dan seperti yang turut dibangkitkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Khas Parlimen pada persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini," tegasnya.

Lapan tuntutan Bersih yang dimaksudkan oleh beliau itu termasuklah bersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Ikhwan harapkan Malaysia selepas Mesir


KUALA LUMPUR, 25 Jan:Parti politik naungan Ikhwanul Muslimin Freedom and Justice Party (FJP) berharap Malaysia akan mencontohi Mesir selepas ini.

(Gambar: Dr Syed Azman berbincang dengan Dr Essam di pejabatnya dekat Kaherah)

Timbalan Pengerusi FJP, Dr Essam El-Eryan dalam temubualnya dengan Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi ingin benar tahu apakah kebangkitan rakyat juga akan berlaku di Malaysia dalam pilihan raya ke 13 nanti.

FJP mencapai kemenangan besar dengan meraih 47.18 peratus undi dan menguasai 235 kerusi di Majlis Rakyat.

Tempat kedua diduduki oleh kubu konservatif, Parti Salafi al Nur dengan 25 peratus undi atau 121 kerusi, sementara parti beraliran liberal, Parti Wafd meraih 36 kerusi dan parti sekular, Koalisi Mesir memiliki 33 kerusi.

Dalam sidang Parlimen pertama, pimpinan kanan FJP, Dr Saad al-Katatni telah dilantik sebagai Ketua (speaker) Majlis Rakyat yang pertama selepas kejatuhan rejim Mubarak.

Sepanjang bulan lalu Dr Syed Azman berada di kota Kaherah sebagai anggota rombongan Ahli Pemerhati Antarabangsa Pilihan Raya Mesir di bawah seliaan PBB yang yang baru berakhir baru-baru ini.

Tidak siapa dapat menjangkakan Pilihan raya boleh dijalankan dengan aman selepas 'Revolusi 25
Februari' yang telah berjaya menggulingkan rejim 'kuku besi' Hosni Mubarak dengan hanya bersenjatakan 'Kuasa Rakyat' yang turun secara sukarela berdemonstrasi di jalan-jalanraya di seluruh negara.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Luar PAS telah bertemu dengan Dr Essam, sahabat lama beliau di sana.

Menurut Dr Essam, punca kemenangan FJP adalah melalui susunan trategi yang antaranya:

1. Organisasi kempen FJP yang tersusun dan berstrategik.

2. Teknik 'bantuan dan kebajikan' yang efektif kepada pengundi terutamanya di luar bandar.

3. Pendekatan kempen kepada golongan remaja dan anak muda yang mesra dan bersifat memenuhi realiti semasa.

4. Kempen dari rumah ke rumah yang berterusan.

5. Mengemukakan pelan ekonomi yang di terima rakyat.

6. Kempen melalui media baru seperti Twitter dan Facebook yang amat berkesan.

(Ikuti tulisan penuh Dr Syed Azman dalam Harakah Jumaat ini)

Wednesday, January 25, 2012

Mee Segera Bak Kut Teh HALAL di 99 Speedmart Taman Prima Selayang


Petang semalam aduan diterima daripada salah seorang penduduk berkenaan dengan penjualan Mee Segera Bak Kut Teh berstatus Logo Halal yang dijual di Mini Market 99 Speedmart outlet Taman Prima Selayang. Ianya dijual bersama-sama dengan mee segera yang lain.

Kalau tak silap kami maksud Mee Bak Kut Teh adalah Mee Sup Babi yang sememang dan confirm HARAM hukum memakannya. Jadi macam mana Mee Segera ini boleh dijual dengan berstatus halal di pek bengkusannya.

Aduan kepada PPIM telah dibuat dan dihantar. Pihak kami masih menunggu jawapan dan tindakan selanjutnya daripada pihak PPIM.

Mini market 99 Speedmart ini terdapat ratusan outlet @ cawangan di seluruh negara. Jadi, rasanya Mee Segera Bak Kut Teh ini juga mungkin dijual diseluruh negara. Jadi ambillah tindakan yang sewajarnya wahai pihak yang berkuasa @ bertanggungjawab.

Pemuda PAS Selangor kecam pasang kain rentang

KUALA LUMPUR, 24 Jan: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengecam tindakan tidak bertanggungjawab pihak-pihak yang cuba untuk melaga-lagakan Pemuda PAS negeri dengan kepimpinan Pakatan Rakyat negeri Selangor apabila didapati beberapa kain rentang telah dipasang di Selangor yang menunjukkan sikap tidak puas hati Pemuda PAS Selangor.

Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan menegaskan pihaknya menafikan segala kenyataan yang tertera di kain rentang tersebut dan menganggap tindakan itu hanyalah tindakan pihak yang ‘nakal’ yang cuba untuk mengeruhkan hubungan baik Pemuda PAS negeri dengan kepimpinan Pakatan Rakyat Selangor.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor telah mengarahkan pemuda-pemuda di setiap kawasan untuk menurunkan kain-kain rentang ini dan membuat laporan polis di tempat masing-masing,” ujarnya dalam satu kenyataan.


Sumber: http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/7732-pemuda-pas-selangor-kecam-pasang-kain-rentang


p/s: Satu lagi usaha daripada pihak musuh untuk menjatuhkan PAS dan Pakatan Rakyat....

Dr Shafie: Urusan agama lebih lancar dibawah MB


BANGI, 25 Jan: Pembantu Exco Hal Ehwal Agama Selangor, Dr Shafie Abu Bakar (gambar) yakin segala urusan berkaitan hal ehwal agama di Selangor akan lebih licin selepas portfolio itu dipegang sendiri oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Menurutnya yang juga Adun PAS Bangi, dengan kelebihan yang ada pada Khalid selaku Menteri Besar, ianya akan memudahkan 'banyak benda' termasuk dalam urusan dengan Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Malah lebih penting ujarnya, hubungan baik beliau dengan pihak istana termasuk Sultan Selangor yang merupakan ketua agama Islam negeri.

"Kedudukan YAB sebagai Menteri Besar, menjadikan hubungan dengan Mais dan Jais khususnya Istana akan lebih dihormati dari segi memberi pandangan dan kedua-dua belah pihak boleh diharmonikan dan dilicinkan dari segi pentadbiran.

"Dengan (portfolio agama) dipegang YAB Menteri Besar, polisi dan peruntukan juga barangkali dapat dijalankan dengan licin," katanya dalam temubual khas bersama Harakahdaily.

Dr Shafie sebelum ini bertugas dibawah Datuk Dr Hasan Mohd Ali sebagai pembantu Exco Hal Ehwal Agama Islam.

Kini, Dr Shafie masih memegang jawatan sama namun bertukar bosnya kepada Tan Sri Khalid Ibrahim.

18 Januari lalu, Kerajaan Negeri Selangor membuat penstrukturan semula portfolio exconya selepas Dr Ahmad Yunus Hairi dilantik sebagai Exco menggantikan Hasan Ali.

Dr Yunus memegang portfolio Adat Resam Melayu serta portfolio Belia dan Sukan.

Semetara portflio Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Asas yang dipegang Hasan Ali sebelum ini dipegang sendiri oleh Menteri Besar.

Ditanya beban tugas selepas pertukaran bos, Dr Shafie berkata, beliau yakin kerjanya sebagai pembantu exco agama akan lebih berat dibawah Tan Sri Khalid.

"Oleh kerana dia sibuk dengan pelbagai-pelbagai tugas, mungkin peranan (exco agama) ini banyak diturunkan kepada saya lah.

"Barangkali saya akan lebih banyak menjalankan tugas yang sepatutnya dijalankan oleh Menteri Besar kerana masa dia tak banyak," katanya yang juga Pengerusi Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (Padat).

Nafi PAS hilang portfolio


Mengulas tohmahan pihak tertentu khususnya Umno bahawa PAS dipinggir dari memegang portfolio agama di Selangor, Dr Shafie berkata ianya hanya tuduhan jahat yang mahu memecahbelahkan Pakatan Rakyat negeri itu.

Menurutnya, isu itu langsung tidak timbul, malah PAS melihat kapasiti Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar adalah paling baik untuk memegang portfolio itu buat masa ini.

Apatah lagi katanya, dia sendiri masih kekal sebagai pembantu exco agama yang sudah tentu akan memikul sebahagian besar tugas Tan Sri Khalid.

"Sebenarnya kalau dianggap kita dari PAS hilang portfolio Hal Ehwal Islam itu, tidak lah.

"Selagi di bawah Pakatan, orang mempunyai kelayakan wajar memegangnya lebih-lebih lagi Menteri Besar yang kedudukannya yang boleh memperkukuhkan hubungan dengan Jais, Mais dan pihak Tuanku," katanya.

Menurutnya lagi, keputusan Tan Sri Khalid mengambil alih portfolio itu bukan kerana tidak ada mereka yang layak.

Namun atas faktor lebih besar iaitu hubungan dengan pihak atasan tersebut, maka keputusan tersebut dibuat.

"Baik Dr Yunus, Dr Rani, saya sendiri layak untuk menjalankan tanggungjawab ini, tapi dari segi komunikasi dengan peringkat atas kita tak biasa," tegasnya.