Wednesday, October 5, 2011

Belanjawan Pakatan ke arah timbang tara berkesan

KUALA LUMPUR, 5 Okt: Belanjawan alternatif yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat merupakan langkah cemerlang ke arah sistem timbang tara yang matang dan berkesan.

Sehubungan itu, ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad mengucapkan tahniah di atas pembentangan belanjawan itu oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Beliau yang juga AJK PAS Pusat berkata, persoalan gaji minimum di dalam Belanjawan 2012 Pakatan Rakyat sebanyak RM1,100 bukannya RM1,500 akan dijelaskan malam ini.

Penjelasan itu akan dibuat pada Forum Belanjawan kesejahteraan Pakatan Rakyat 2012, di Quality Hotel, Shah Alam bermula jam 8.00 malam..

Belanjawan Pakatan Rakyat yang dibentangkan Anwar Ibrahim semalam juga meletakkan persoalan gaji yang diterima oleh rakyat.

Persoalan gaji yang mahu dipadamkan oleh pemerintah sedia ada dibangkitkan agar ia lebih bermaruah dan bertepatan dengan keperuan kewangan menampung hidup mengikut kos semasa.

Anwar menjelaskan rakyat bukannya menuntut keistimewaan mahupun kemewahan tetapi ia adalah merupakan satu konsep hak asasi menusia yang diterima pakai di seluruh dunia.

"Setiap manusia wajar menerima upah yang membolehkan dia menampung kos asas kehidupan seperti kediaman, makanan, pendidikan dan perubatan.

"Oleh yang demikian, kemelut tuntutan gaji minima yang berpanjangan dan tidak berkesudahan melambangkan persepsi pemerintah yang memandang rendah kepada rakyat seolah-olah rakyat menagih dan meminta sedekah.

"Memenuhi kehendak rakyat gaji minima akan diperkenalkan dan dikuatkuasakan, PR akan menggunapakai mekanisme penetapan gaji yang terbukti berkesan di negara-negara lain dengan meminda semua akta sedia ada dan gaji minima sebanyak RM1,100 akan disyorkan untuk diangkat dan dikuatkuasakan," jelasnya.

Anwar memberitahu pengenalan gaji minima ini dapat dimanafaatkan oleh tiga ratus ribu orang kakitangan awam yang berada di bawah RM1,100 sebulan.

Dalam pada itu tangga gaji kakitangan awam akan diselaraskan berikutan pengenalan gaji minima dan melibatkan kenaikan gaji kakitangan awam yang lain mengikut tangga gaji masing-masing.

"Selain gaji minima, PR juga akan melaksanakan pembayaran elaun pendidikan sebanyak lima ratus ringgit sebulan bagi setiap orang guru seperti yang dijanjikan di dalam Buku Jingga.

"Sebanyak RM5.9 bilion diperuntukan bagi melaksanakan penyelarasan gaji kakitangan awam berikutan gaji minima dan juga janji Buku Jingga," katanya lagi.

Jelas Anwar lagi, PR akan menghentikan serta-merta kecenderungan dan amalan menggunapakai tenaga perunding dalam proses keputusan kerajaan seperti amalan sekarang dan mengembalikan pengaruh serta kedudukan awam dalam proses kerajaan.

Peruntukan tambahan RM1.3 bilion diberikan untuk menambahbaik skim latihan vokasional dan teknik di semua peringkat termasuk naiktaraf kursus ijazah sedia ada supaya berorientasikan pendidikan universiti teknikal.

"Peruntukan tambahan RM1 bilion untuk perumahan awam yang akan dipacu melalui perkongsian pintar bersama-sama dengan kerajaan-kerajaan negeri.

"PR juga akan melaksanakan skim 'Bina dan Jual' secara berperingkat bermula dengan skim perumahan awam untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang teraniaya akibat projek perumahan terbengkalai," jelas beliau lagi.

Tambahnya, untuk mengembalikan martabat rakyat dan menghentikan pendekatan yang meremeh temehkan rakyat seperti yang diamalkan pemerintahan yang sedia ada bajet PR juga akan menganugerahkan lesen-lesen secara terus kepada rakyat dan pemohon.

"PR akan membatalkan sistem payung dan konsesi yang digunapakai bermula dengan pemberian lesen teksi secara terus kepada pemandu-pemandu teksi," tambahnya.

Tuesday, October 4, 2011

Selamat Menduduki Peperiksaan PMR



Saya mengucapkan Selamat Menduduki Peperiksaan PMR kepada anak-anak di dalam DUN Taman Templer. Saya juga mendoakan agar anak-anak semua dapat menjawab dengan tenang dan sempurna serta semoga mendapat kejayaan yang cemerlang.

Tn Hj Mohamad Abd Rahman
Penyelaras DUN Taman Templer

Monday, October 3, 2011

Hudud: DAP tetap bersama PAS lawan BN


KEPALA BATAS, 2 Sept: Perbezaaan pandangan berhubung perlaksanaan undang-undang Islam khususnya hudud tidak bermakna DAP putus kerjasama dengan PAS.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan, DAP tetap akan bekerjasama dengan PAS kerana masih banyak persamaan dalam memperjuangkan keadilan untuk rakyat khususnya melawan BN.

Bercakap sewaktu menyampaikan pidato di program rapat umum sempena Kongres 60 Tahun PAS di sini malam tadi, Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga secara tegas menyatakan mereka juga tidak akan bersama Umno biarpun Umno juga sama pendirian dengan DAP menolak perlaksanaan hudud.

"Pimpinan DAP jelas kita tak setuju dengan hudud. Umno pun tak setuju dengan hudud. Tetapi tak kan kerana DAP tak setuju Umno tak setuju, DAP dan Umno nak kerjasama.

"Kita terus akan bekerjasama dengan PAS kerana kita masih banyak persamaan. Kita sama-sama lawan rasuah, sama-sama lawan kebatilan, sama-sama lawan BN," tegasnya disambut tepukan dan laungan takbir hadirin.

Dalam majlis itu dianggarkan lebih 20 ribu hadirin hadir dan duduk bersila memenuhi ruang dalam dan perkarangan Dewan Milenium.

Dalam mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat minggu lalu, kesemua parti komponen PAS, PKR dan DAP menyatakan persetujuan bersama memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu.

Mereka juga menghormati pendirian PAS untuk mengangkat isu hudud dan membincangkannya agar difahami oleh masyarakat.

Pada masa yang sama, mereka juga menghormati pendirian DAP yang tidak bersetuju dengan perlaksanaan hudud kerana bertentangan dengan perlembagaan.

Keputusan bersama itu sekaligus didakwa menggagalkan rencana Umno BN memecah belahkan parti-parti dalam Pakatan menggunakan isu hudud yang selama itu dianggap senjata ampuh mereka.

"Kita (DAP) ditubuh untuk bela perlembagaan bukan lawan perlembagaan. Sama juga kita bukan mahu lawan Islam tetapi kita mahu lawan Umno, MCA, MIC dan BN," katanya.

Turut menjadi pemidato dalam majlis malam tadi adalah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Sumber: Harakahdaily.net

Sekitar Sambutan 60 Tahun PAS : PAS Kini Memasuki Era Baru

PAS kini sudah memasuki era baru dalam perjalanan perjuangannya yang kini mencecah usia 60 tahun sejak penubuhannya 1951, kata Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Bercakap sewaktu menyampaikan ucaptama di Kongres Sambutan 60 Tahun PAS di Dewan Milenium, Kepala Batas di sini, Presiden PAS itu berkata parti Islam itu kini telah mendapat kepercayaan pelbagai pihak di negara ini.

Kepercayaan itu ujarnya hasil daripada pengamatan rakyat melihat ketabahan PAS yang tidak berganjak memperjuangkan keadilan Islam biarpun menghadapi tekanan dan penindasan sejak zaman penjajah dan penafian hak oleh pusat biarpun telah menguasai beberapa negeri.

"PAS adalah parti yang bertunjang dengan teguh dan kuat, tidak terpengaruh dibawa arus penjajah."

Ada yang terjebak dengan Komunis, British dan Jepun. Tapi PAS tidak hanyut dengan mana-mana fahaman penjajah," katanya.

Selepas merdeka pula, PAS yang mengambil sikap menyertai pilihan raya untuk menegakkan Islam terus mendapat tekanan daripada parti pemerintah biarpun kini telah berjaya menguasai beberapa negeri bersama Pakatan Rakyat."

Semangat faderalisme dicabul pemerintah. Sewaktu kita memerintah Terengganu hak royalti dirampas, dinafikan hak di Kelantan," katanya lagi.

Kepercayaan terhadap PAS yang perjuangannya dipandu Majlis Syura Ulama, terus menebal apabila mempamerkan pentadbiran yang baik dan adil di negeri-negeri yang dikuasai.Jika dahulu katanya, PAS hanya dilihat diskong oleh orang Islam, namun hari ini PAS sudah mempunyai Dewan Himpunan Penyokong PAS yang terdiri dari kaum Cina dan India.

Malah gabungan profesional dan ulama yang memimpin PAS juga telah menguatkan lagi parti itu sekaligus menafikan persepsi bahawa PAS hanya untuk golongan agama.

Sehubungan itu ujarnya, PAS kini menjadi harapan sebagai "bahtera penyelamat" kepada segala permasalahan yang sedang menimpa masyarakat pada hari ini.

"Di zaman Nabi Nuh, baterah Nabi Nuh menjadi penyelamat, di zaman ini PAS adalah bahtera penyelamat terhadap kehidupan manusia berlandaskan al-Quran, hadis, ijma' dan qias," tegasnya.

Sementara itu, lebih 7000 hadirin hadir ke Kongres 60 Tahun PAS hari ini.Selain ucaptama presiden, kongres kali ini juga turut memberikan anugerah "Pahlawan Umat" kepada Presiden PAS ke-3 Dr. Burhanudin Al-Helmi.

Sehubungan itu, gelaran tersebut akan digunakan setiap kali nama Dr Burhanudin disebut. Sebelum penyampaian anugerah itu yang diterima isteri beliau, jasa dan semangat perjuangan Dr. Burhanudin diceritakan melalui puisi khas yang didelamasikan Saterawan Negara, Datuk A.Samad Said. -HD

Forum Perdana Sempena Sambutan 60 Tahun Pas





Sumber Gambar : Blog BGM Online


KONGRES SAMBUTAN 60 TAHUN PAS

Timbalan Presiden sedang berucap di muqaddimah majlis

Ucapan Presiden Pas Tuan Guru Presiden Dato Seri Hj Abd Hadi Awang

Dr. Rani, Pesuruhjaya Selangor, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan

Naib-naib Presiden PAS, Salehuddin Ayub, Husam Musa & Mahfuz Omar

Isteri Al-Marhum Burhanuddin Al-Helmy, Hajjah Suri

Tuan Guru Presiden menyampaikan anugerah Darjah Pahlawan Ummat kepada Hajjah Suri, balu kepada Al-Marhum Burhanuddin Al-Helmy

Sajak dideklamasikan khas untuk Al-Marhum Burhanuddin Al-Helmy oleh A. Samad Said

Tak perlulah lagi diperkenalkan lagi

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Riduan Mohd Nor dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nik Abduh Nik Abd Aziz

ADUN Selat Klang, YB Dr Halimah Ali

Bekas Pesuruh PAS Selangor, Hj Subky latif & Sasterawan Negara Pakatan Rakyat, A. Samad Said

Ucapan perasmian penutup oleh Dato Seri Bentara Tuan Guru Mursyidul Am

Antara 5000 hadirin yang memenuhi dewan

Nisa',Gadis-gadis manis ini turut berkawad di luar halaman dewan

Pelapis Unit Amal dari Negeri Pulau Pinang yang diwakili oleh remaja

Saturday, October 1, 2011

Orang agama jangan 'bantai' saja artis - Zed Zaidi


KUALA LUMPUR, 30 Sept: Pelakon popular, Zed Zaidi (gambar) mengalu-alukan langkah yang dilakukan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat yang menemui Ahmad Idham Ahmad Nadzri, bagi menyelesaikan kontroversi yang timbul berhubung filem terbaru arahan pengarah itu pada 26 September lalu.

Menurut beliau, dengan adanya pertemuan seperti itu, golongan artis akan lebih terbimbing dengan baik bagi membolehkan mereka menghasilkan filem-filem lebih bermutu pada masa akan datang.

"Pada saya, langkah yang diambil oleh golongan agama tidak kira sama ada dari PAS dan pertubuhan-pertubuhan lain untuk mendekati artis sememangnya dialu-alukan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Dengan adanya langkah seperti itu, katanya, ternyata golongan agama bukan sekadar hanya tahu 'membantai' golongan artis, tetapi turut sama berperanan menyelesaikan masalah yang berlaku berhubung pembikinan dan penerbitan sesebuah filem serta kehidupan golongan artis.

Pengarah Ahmad Idham baru-baru ini diselubungi masalah apabila filem terbaru arahannya, Hantu Bonceng mencetuskan kontroversi disebabkan beberapa adegan di dalamnya didapati menghina Islam.

Filem Hantu Bonceng yang diterbitkan oleh syarikat kepunyaan Ahmad Idham sendiri, Excellent Pictures Sdn Bhd ditayangkan bermula 31 Ogos sehingga 4 September 2011 lalu secara serentak di 80 pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Hantu Bonceng dibintangi Mohd Razizan Abd Razak atau lebih dikenali sebagai Zizan Raja Lawak, Juliana Evans, Jue Aziz, Dottie, Tai, Zahid Baharudin dan beberapa orang pelakon lain.

Filem ke-23 arahan Ahmad Idham itu merupakan filem komedi dan mengisahkan Amran yang gemar berlumba haram yang tiba-tiba terlibat dalam satu kemalangan yang meragut nyawa gadis yang memboncengnya.

Sejak itu, gadis yang tidak tenteram itu menghantui Amran dan Amran meminta kekasihnya, Halimaton dan rakannya Kunyit menyempurnakan mayat gadis tersebut.

Namun filem yang menghasilkan kutipan tiket melebihi RM8 juta itu dikecam hebat oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia kerana dalam satu adegannya, Zizan jelas menghina Rasulullah saw dengan menyebut “Ashaduanna Muhammadar ... syaitan” yang membawa maksud “Aku naik saksi bahawa Muhammad itu ... syaitan”.

Selain itu turut ditambah dengan adegan mempersendakan azan, memakai baju yang mempunyai tanda salib ke masjid dan beberapa isu tahyul seperti bogel depan hantu.

Dewan Pemuda PAS Malaysia menerusi Ketuanya, Nasrudin Hassan ketika membuat teguran terhadap filem itu sejak 19 September lalu turut kesal yang teramat sangat dengan kelemahan ketara pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), sehingga membenarkan filem-filem berbaur penghinaan kepada Islam diterbitkan.

20 September lalu, Dewan Pemuda PAS melanjutkan lagi tegurannya kepada pihak penerbit, pengarah dan pelakon filem itu agar menyedari kesalahan tersebut dan mendesak agar penayangan filem itu dihentikan dan jika mahu ditayangkan juga, sekurang-kurang babak mengucap syahadah secara salah itu mesti dipotong untuk tayangan berikutnya.

Bagaimanapun, teguran itu tidak dipedulikan oleh Ahmad Idham, malah beliau dilaporkan menjawabnya dengan nada dan ayat-ayat yang tidak sewajarnya.

Tindakan beliau memaksa Dewan Pemuda PAS Malaysia membuat keputusan untuk mengadakan pertemuan khas dengan pengarah tersebut bagi menjelaskan maksud sebenar teguran itu demi kepentingan Islam, para penonton filem itu dan orang ramai di segenap peringkat pada 26 September lalu.

Pertemuan tersebut diadakan di pejabat Ahmad Idham dan melibatkan Nasrudin bersama beberapa kepimpinan Pemuda PAS Pusat lain serta menghasilkan natijah yang cukup baik.

Menurut Zed, beliau yakin pertemuan seperti itu tidak sia-sia, tetapi pasti terdapat hasil yang baik yang turut membantu Ahmad Idham menyelesaikan masalah yang dialaminya sekarang dan menghasilkan filem yang lebih baik selepas ini.

Beliau yang juga Pemangku Timbalan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) berkata, golongan artis sememangnya golongan yang berpengaruh dalam masyarakat dan perlu menjalani kehidupan yang baik seperti yang dituntut dalam Islam.

"Jadi golongan artis memang amat perlu didekati oleh golongan agama. Golongan artis perlu dibimbing supaya dapat memainkan peranan yang baik untuk masyarakat.

"Sekiranya golongan artis melakukan kesalahan, mereka perlu ditegur dengan baik, bukan dengan cara mengutuk dan membantai mereka seperti yang dilakukan oleh sesetengah pihak," katanya.


Sumber: Harakahdaily.net