KUALA LUMPUR, 10 Feb: Kerajaan Negeri Selangor akan membantu penduduk pangsapuri-pangsapuri Bukit Subang membaikpulih bumbung kediaman mereka yang rosak akibat ribut.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri, Iskandar A. Samad berkata, kerja tersebut akan dilaksanakan di bawah Program Baikpulih Negeri Berkebajikan atau Ceria.
Katanya, di bawah skim perkongsian kos Ceria, kerajaan negeri akan menanggung 80 peratus kos baikpulih dan penduduk 20 peratus bagi rumah kos rendah.
“Sementara untuk rumah kos sederhana, kerajaan negeri akan menanggung 60 peratus dan penduduk 40 peratus, bahagian penduduk pula boleh dibayar secara ansuran,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Menurutnya, anggaran awal kos baikpulih iaitu sebanyak RM480,000 telah disiapkan oleh Pejabat Daerah Petaling.
Katanya lagi, kos dan skop kerja terperinci pula akan disiapkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) agar kontraktor-kontraktor untuk kerja baik pulih tersebut dapat dilantik.
“Tetapi buat masa ini MBSA sedang melakukan pemeriksaan untuk menentukan sama ada pangsapuri yang terlibat selamat untuk didiami,” ujarnya yang juga Adun Cempaka.
Katanya, kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan oleh MBSA dan Bomba untuk memastikan pangsapuri-pangsapuri itu selamat. “Adalah diharapkan penduduk di tingkat 1 hingga 4 dapat berpindah balik ke kediaman mereka dan tidak perlu lagi tinggal di dalam dewan,” ujarnya.
Sementara itu, jelasnya MBSA akan mendapatkan rumah sewa sementara untuk penduduk di tingkat 5 sehingga kerja membaikpulih siap.
Pada kejadian kira-kira jam 3.30 petang Selasa lepas, ribut menerbangkan bumbung 120 unit rumah di Pangsapuri Teratai, Seksyen 16, Bukit Subang.
Sembilan unit rumah di blok satu dan dua mengalami rosak teruk ketika kejadian manakala selebihnya hanya mengalami kerosakan kecil tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana kesemua penghuni berjaya menyelamatkan diri.