
KUALA LUMPUR, 22 Dis: “Kita wajib menyedari bahawa  semua tindakan bersendirian telah menggugurkan sesiapa sahaja tanpa  mengira kedudukan dalam PAS,” tegas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru  Abdul Hadi Awang.
 Justeru, tegasnya sesiapa yang menyertai PAS wajib mengikut haluan  dan hala tujunya serta cara perjalanannya yang tersendiri, berlandaskan  Islam secara feqah dan bukan hanya berpaksikan semangat tanpa ilmu dan  faham.
 Beliau menegaskan lagi, seluruh ahli PAS wajib bertambah yakin  bersama perjuangan di atas bahtera PAS dengan setiap pengalamannya   walau pun tidak diberi hak yang adil kerana itulah sifatnya perjuangan  Islam.
 Jelasnya, PAS tetap selamat dan menjadi parti Islam yang makin gagah perkasa menghadapi cabaran pasang surut perjuangan Islam.
 Beliau berkata, PAS terus istiqamah dengan perlembagaan tertingginya yang dijamin oleh kumpulan yang berwibawa.
 Katanya lagi, sesiapa yang cuba berlagak pandai tanpa ilmu yang  sebenar pasti tersungkur dengan lagaknya, dan sesiapa yang berilmu dan  menganggap dirinya paling bijak dalam PAS secara individunya tanpa  peduli terhadap adab berjamaah dalam Islam akan menjadi mangsa serigala  politik yang menjadi musuh perjuangan Islam.
 Beliau menyatakan demikian di dalam satu kenyataan yang ditujukan  khusus kepada seluruh kepimpinan dan ahli  PAS, serta  masyarakat di  Malaysia secara umumnya, dalam mendepani   permasalahan yang sedang  berlaku di waktu ini.
 Berikut adalah peringatan penuh beliau.
 Firman Allah dalam Surah At-Taubah ayat 122:
 Maksudnya: (Dan bukanlah semua orang-orang yang beriman itu   keluar berperang. Mengapa tidak ada satu kumpulan di kalangan mereka   yang bertafaquh (belajar dan memahami) ajaran Islam dan supaya mereka   pulang memberi peringatan apabila kembali menemui kaum mereka,   mudah-mudahan mereka menerima peringatan). (At-Taubah: 122)
 Sabda Rasulullah S.A.W.
 مَنْيُرِدْاللَّهُبِهِخَيْرًايُفَقِّهْهُفِيالدِّينِ
 Maksudnya: (Sesiapa yang Allah menghendakinya menjadi seorang   yang baik nescaya dijadikannya faqeh (faham) dalam  perkara agama   Islam). Riwayat Bukhari Muslim
 Kedua–dua nas ini menunjukkan bahawa Islam itu bukan sahaja semangat   yang berkobar-kobar dan ilmu secara bertulis, dalam masa yang sama  ianya  mempunyai disiplin ilmu serta memahami cara pelaksanaannya. Semua   bidang dan lapangan ajaran Islam hendaklah dipelajari bukan sekadar   sebagai satu ilmu, tetapi dalam masa yang sama hendaklah memahami cara   beramalnya.
 Allah S.W.T. memerintah kepada sesiapa yang memperuntukkan masa   hidupnya dalam perjuangan supaya mengambil masa untuk belajar daripada    kalangan yang belajar dengan faqeh (faham). Apabila belajar, maka   hendaklah pula daripada kalangan  ahli ilmu yang bukan sahaja faham,   bahkan beramal dan berjuang dengan ilmu yang dipelajari itu dengan   kefahamannya yang tulen dengan penuh istiqamah.
 Perkataan feqah pada zaman awal Islam merangkumi semua ajaran Islam.   Kemudiannya para ulama mengkhususkan istilahnya kepada hukum syariat   sahaja. Adapun perkara yang berkait dengan iman atau aqidah dinamakan   Usulu Al Din atau  ilmu Tauhid atau Aqidah dan yang berkait dengan   akhlak pula dinamakan Akhlak atau Tasswwuf.
 Mafhum  bahasa Al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. merangkumi   seluruh ajaran Islam hendaklah dilaksanakan secara Feqah atau faham,   khsusnya dalam perkara hukum syariat yang tidak ada nas yang nyata atau   bergantung dengan ijtihad. Sirah Rasulullah S.A.W. dan para Khulafa Al   Rasyidin banyak menunjukkan huraian yang nyata, betapa perlunya ajaran   Islam itu dihayati dengan Feqah (Fahaman) bukan sahaja dengan ilmu.   Feqah bukan sahaja seperti difahami oleh masyarakat awam hanya dalam   perkara ibadat, sembahyang, puasa, zakat dan haji; bahkan merangkumi   segala ajaran Islam. Khususnya dalam perkara politik yang dilupakan atau   dijahilkan oleh sebahagaian besar umat Islam.
 Ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah, yang juga merupakan amalan   berpolitik yang membawa kepada tegaknya negara dan masyarakat madani,   Rasulullah S.A.W.  telah menggunakan khidmat seorang bukan Islam  yang   berpengalaman dengan jalan pintas yang selamat dan cepat sampai ke   Madinah. Sudah tentu seorang bukan Islam yang dipercayai akan menyimpan   kerahsiaan menjaga keselamatan, dan benci kepada kezaliman walau pun   tidak menganut Islam.
 Di Madinah pula dilaksanakan amalan menegakkan negara, dengan   kekuatan umat Islam sendiri di kalangan Muhajirin dan Ansar, seterusnya   melibatkan kaum bukan Islam di kalangan Yahudi, Kristian, Musyrikin  Arab  dan membenarkan kewujudan kalangan munafiq dalam masyarakat  Madinah.  Semuanya mengambil kira ayat-ayat Al Quran yang memberi amaran  supaya  berwaspada terhadap musuh dan ayat-ayat yang mengizinkan dan  mewajibkan  Islam disampaikan kepada seluruh manusia dan  pelaksanaan  Islam terhadap  seluruh manusia  juga.
 Maka pengajian secara feqah (faham) sahaja boleh melaksanakan   risalahnya dengan istiqamah, bukan sahaja memahami nas secara ayatnya   yang zahir, termasuk juga meletakkan pelaksanaannya pada masa, tempat   dan situasi yang berbeza. Banyak ayat-ayat Al Quran diturunkan dan   hadith-hadith Rasulullah S.A.W.  bersandarkan sebab yang berlaku   sekiranya memerlukan penjelasan.
 Apabila Rasulullah S.A.W. menerima perjanjian Hudaibiyyah, manakala   para sahabat merasakan perjanjian itu berat sebelah dan tidak berpehak   kepada Islam, bahkan lebih berpihak kepada musuhnya. Bermula dengan   pihak musyrikin (i) menolak penggunaan Bismillah, (ii) menentang dicatit   nama Muhammad Rasulullah, (iii) membenarkan mereka yang berada di   Madinah melarikan diri ke Makkah, sebaliknya tidak membenarkan orang   Islam di Makkah berhijrah ke Madinah, (iv) dilarang meneruskan amalan   umrah walau pun Rasulullah dan para sahabatnya sudah berpakaian ihram   dan lain-lain.
 Rasulullah S.A.W. bertegas dengan keputusan menerima perjanjian   Hudaibiyah tanpa  wahyu diturunkan, tetapi berpandukan ketajaman bacaan   Rasul terhadap Feqah politik semasa, dan para sahabat mentaati secara   mutlak kerana kerasulannya. Akhirnya perjanjian yang diterima memberi   kemenangan yang besar kepada Islam dan menerima kunjungan kabilah yang   datang menganut Islam dengan jumlah berlipat kali ganda sebelumnya.
 Dalam  perkara yang lain, Allah S.W.T. mengajar  Rasulullah S.A.W.   dan para sahabat R.A. melaksana dan mematuhi Syura secara tegas dalam   peristiwa Uhud dengan firman-Nya dalam Surah Ali-Imran ayat 159 yang   bermaksud:
 (Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam mengendalikan urusan.   Maka apabila engkau telah berazam (dengan keputusan ) maka berserah   kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berserah   kepadanya).
 Ayat ini menunjukkan kepada kita konsep bermesyuarat dan kepatuhan   kepada keputusan yang diambil  dan mengharapkan pertolongan Allah   selepasnya, walau pun selepasnya menerima tamparan korban dan   kecederaan. Ini adalah cara bermesyuarat dalam Feqah berjamaah khususnya   dalam politik.
 Semua kenyataan tersebut adalah menjadi pedoman kepada sesiapa yang   mahu berpolitik secara Islam. Bagi mengemaskini supaya ajaran Islam   dilaksanakan secara Feqah, maka para ulama merangka kaedah-kaedah  ilmu   yang berkait dengannya yang dinama ilmu usul feqh, maqasid syariat dan   siyasah syari’yyah.
 Bagi memelihara ajaran ini dilaksanakan, maka Parti Islam Se-Malaysia   (PAS) mewujudkan MAJLIS SYURA ULAMA sebagai badan yang berwibawa   mengikut perlembagaan PAS untuk memelihara amalan Islam secara Feqah   Islam yang sebenar. Badan yang dianggotai oleh kalangan ilmuan Islam   yang mampu memahami sumbernya yang tertinggi: Al Quran, Hadith, Ijmak,   dan Qiyas yang nyata. Majlis Syura Ulama bertanggungjawab melakukan   kajian dan ijtihad secara Jamaei dalam menghadapi cabaran semasa dengan   sistem ilmu-ilmu yang berkait dengannya. Keanggotaan Ahli Majlis Syura    pula mewakili seluruh cabang kepimpinan tertinggi PAS.
 PAS telah berjaya menghadapi semua pengalaman di sepanjang   perjuangannya sejak ditubuhkan, sama ada secara bersendirian,   bersefahaman  dengan: kerajaan, pembangkang dan NGO, Islam dan kalangan   bukan Islam.
 Pendekatan politik mutakhir bersama Pakatan Rakyat adalah menjadi   penerusan amalan politik Islam secara feqah, bukannya secara remeh   temeh. Kejayaan dicapai apabila kalangan bukan Islam menerima konsep   perlembagaan,  Islam menjadi agama negara dengan hak yang diberi secara   adil kepada penganut agama lain, hak Bumiputera, Bahasa Kebangsaan dan   Raja Berpelembagaan.
 Perlu diingat, bahawa Umno yang menjadi teras kerajaan BN gagal   mencapai matlamatnya setelah memerintah lebih lima puluh tahun, kerana   tidak menjadikan Islam mengikut makna Al Quran dan ajaran Rasulullah   S.A.W. Apakah tempoh masa lebih lima puluh tahun tidak mampu melakukan   muhasabah?
 Seluruh ahli PAS wajib bertambah yakin bersama perjuangan di atas   bahtera PAS dengan setiap pengalamannya  walau pun tidak diberi hak yang   adil, inilah sifatnya  perjuangan Islam.  Kita wajib  menyedari bahawa   semua tindakan bersendirian telah mengugurkan sesiapa sahaja tanpa   mengira kedudukan dalam PAS. Namun PAS tetap selamat dan menjadi Parti   Islam yang makin gagah perkasa menghadapi cabaran pasang surut   perjuangan Islam.
 PAS terus istiqamah dengan perlembagaan tertingginya yang dijamin   oleh kumpulan yang berwibawa. Sesiapa yang cuba berlagak pandai tanpa   ilmu yang sebenar pasti tersungkur dengan lagaknya, dan sesiapa yang   berilmu dan menganggap dirinya paling bijak dalam PAS secara individunya   tanpa peduli terhadap adab berjamaah dalam Islam, akan menjadi mangsa   serigala politik yang menjadi musuh perjuangan Islam, inilah sikap   membahayakan diri sendiri yang diberi amaran oleh Rasulullah S.A.W.
 Maksudnya: (Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala yang   menangkap manusia, laksana serigala yang menangkap kambing yang   terpencil daripada kawanannya dan yang berada disudut yang menjauh diri   daripada kawanannya). Dalam Musnad Ahmad.
 PAS terus terbuka kepada semua yang bersedia bersamanya bagi   melangsungkan perjuangan menegakkan Islam yang menjadi rahmat kepada   seluruh manusia.
 Sesiapa yang menyertai PAS wajib mengikut haluan dan hala tujunya   serta cara perjalanannya yang tersendiri, berlandaskan Islam secara   feqah dan bukan hanya berpaksikan semangat tanpa ilmu dan faham.
sumber: http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/7179-peringatan-presiden-kepada-pemimpin-ahli-pas