Bob Lokman : Dunia glamour gagal memacu arah hidup saya
Sebagai penggiat seni, akhirnya Bob Lokman patah ke pangkal jalan. Liku-liku dunia glamour yang menyelubunginya gagal memacu arah hidupnya mengikut kehendak Pencipta. Beliau mengucapkan selamat tinggal kepada dunia glamour dan mengaktifkan dakwah bersama ummat. Tersohor pencipta lagu, penulis lirik, pelakon dan pelawak, Mohd Hakim Lokman bertekad rebranding hidupnya untuk Allah dan sejak menyertai PAS masanya pagi, petang dan malam sarat dengan ceramah, pertemuan dan syarahan di seluruh pelusuk negara. Ikuti interbiu eksklusif Editor DATUK TARMIZI MOHD JAM dan wartawan INTAN ABDULLAH serta M SHAFRI SAMSUDIN bersama beliau.
Mengapa saudara Bob memilih PAS sebagai wadah perjuangan untuk berdakwah?
BOB LOKMAN: Sebabnya hanya kerana PAS sahaja pada masa ini yang mengamalkan amal ma'aruf nahi mungkar. Tabligh hanya amal ma'aruf sahaja. Rufaqa' hanya berkaitan ekonomi. Jadi masalah kita dalam Malaysia bukannya ekonomi, bukan masalah sembahyang, tetapi adalah masalah sistem yang membuatkan ekonomi, pendidikan, tidak Islamik. Begitu juga yang banyak merosakkan solat orang adalah sistem. Jadi, PAS sebagai wadah yang meperjuangkan Islam, yang ada kena mengena dengan politik dilihat berpeluang besar untuk mengubah sistem yang salah selepas digunakan dalam negara selama 53 tahun. Maka sebab itulah saya menyertai PAS.
Apa pula kesan sistem yang digunakan dalam negara kepada masyarakat selama ini?
Kesannya terlalu banyak. Contohnya dadah, buang anak, tidak jujur dalam pemerintahan kerana datang dari satu sistem pendidikan yang tidak kerana Allah. Hantar anak ke sekolah kerana niat mahukan dia pandai, mendapat pekerjaan yang bagus, bila besar nanti dapat rumah besar dan lain-lain bukan kerana Allah. Maka hari ini kita dapat cerdik pandai yang jadi pemerintah makan rasuah, yang peguam jadi pembunuh, yang jadi polis akan memukul orang tak tentu pasal. Ini berpunca daripada sistem pendidikan kita tidak kerana Allah. Begitu juga ilmu akademik yang diajar di sekolah tidak ditunjukkan secara langsung hubungannya dengan Allah. Jadi, bila niat bersalahan tidak kerana Allah, maka dapatlah kita bala dari Allah.
Berdasarkan hubungan saudara dengan artis, bagaimana mereka lihat perjuangan PAS?
Pertama, artis yang terlalu sibuk dengan urusan dunia. Mereka, sebenarnya tidak kisah hal politik. Sama ada PAS atau Umno, mereka tidak kisah. Mereka tidak ada kesedaran tentang itu. Kedua, ada artis yang mempunyai sikap penentangan kepada kerajaan kerana dia tahu isu-isu rasuah yang berlaku contohnya di RTM. Maka, mereka ini ada yang pro PAS atau pro Pakatan Rakyat. Tetapi sebahagian besar artis sebenarnya berpihak kepada BN. Terutama artis yang senang kita nampak, yang popular. Popular ini maksudnya senang dapat kerja, mewah dapat kerja maka dia merasakan kestabilan negara itu amat penting. Mereka ini melihat kestabilan negara adalah dari sudut ekonomi dan tidak pernah memikirkannya dari sudut agama. Mereka hanya jaga untuk sembahyang dia sahaja, sedangkan agama sebagai keseluruhan langsung mereka tidak fikir dan inilah cara pemikiran kebanyakan artis. Perbualan mereka hanya sekadar hal-hal dunia sahaja. Atau kalau keluar sikit daripada itu, adalah yang kena mengena dengan drama atau pembuatan filem. Nak masuk ke RTM dia tahu di sana ada banyak rasuah. Hanya bab itu sahaja mereka agak geram sikit. Tetapi masih menyokong kerajaan.
Artis semacam takut kalau PAS berkuasa hingga mereka merasakan seolah-olah perjuangan mereka dalam muzik akan terjejas. Ini macam mana...
Benda ini sebenarnya tidak sampai kepada mereka. Ada setengah yang taksub dengan dunia hiburan terutama perempuan ada yang berkata, "PAS kalau memerintah nayalah kita. Apa kita nak makan?". Sebenarnya sumber berkaitan ini hanya berdasarkan dua sumber sahaja iaitu pendapat artis itu sendiri dan kerajaan. Memang maklumat sebegini tidak sampai ke pengetahuan mereka. Hampir separuh terutama dari golongan muda tidak ada asas agama. Agama "samping hijau" yang saya panggil. Maknanya agama hanya dari sekolah rakyat semata. Dalamnya tiada, maka sebab itu mereka tidak terfikir ke mana sepatutnya arah mereka. Saya sendiri begitu juga dulu. Kita merasakan benda (dunia hiburan) yang kita lakukan satu tanggungjawab kepada negara sedangkan hakikatnya tidak. Sebagai contoh, dulu saya anggap muzik rock itu satu perjuangan tetapi sebenarnya tidak ada manfaat pun. Sama seperti orang cuci longkang, bawa teksi yang hanya mencari makan. Tetapi kononnya hasil itu daripada kreatif maka kita anggap ia sebagai perjuangan. Sebahagian besar yang memperjuangkan kreativiti itu sebenarnya lari akidahnya. Ini adalah kerana tidak bersandarkan kepada Islam dan tidak kembali kepada Allah. Pemikiran ini adalah kerana hasil yang dilahirkan 53 tahun BN memerintah dengan sistem yang ternyata gagal.
Berdasarkan pengalaman dalam dunia hiburan, bagaimana artis "samping hijau" ini mempelopori dunia hiburan..
Hasilnya lagi ramai orang buang anak, dedah aurat, lebih banyak fesyen baru akan keluar, akan meriah lagi dunia hiburan. Apa yang nampak indah dunia di mata dan mandatangkan bala lagi banyak. Akan lebih besar dan lebih mahal tiket konsert serta lebih besar bala yang Tuhan akan beri.
Apa reaksi kawan-kawan terutama teman rapat bila saudara menyertai PAS secara rasmi?
Kawan yang rapat semua belum datang berjumpa saya. Mereka nampaknya tidak berani dekat. Mereka tidak menelefon saya. Yang jumpa gitu-gitu adalah. Yang Melayu kata alhamdulillah. Mungkin hanya itu sahaja yang dia hafal.
Boleh cerita sedikit, punca saudara meninggalkan dunia hiburan?
Kesedaran timbul, bila saya lihat peguam bunuh arwah Sosilawati. Menteri menipu Perdana Menteri, Ketua Hakim bersara awal sedangkan dalam Islam tiada istilah bersara. Keadilan itu juga tidak terhenti. Mana logiknya jika orang sebegini pencen. Bolehkah takwa itu pencen pada pandangan Islam? Bolehkah iman itu pencen. Tentu tak boleh. Bagaimana Ketua Hakim Negara boleh pencen sedangkan mereka adalah orang yang tahu sistem keadilan negara. Mereka tidak dapat memberi sumbangan kepada orang lain apatah lagi kepada orang lain. Mereka yang tinggi ilmu dunia mereka jadi blank. Ini bermakna sistem yang ada salah. Jika begitu apa maknanya saya menghantar anak ke sekolah jika mereka dipencenkan sehingga tidak dapat memberi manfaat kepada negara. Ini kerana sistem ini, anak saya pergi ke mana pun ia akan pencen dan tidak memungkinkan kita beramal dengan "innamal a'malu bilniyat,".
Jadi sistem yang ada tidak logik kerana tak dikembalikan kepada Allah...
Iya. Apa yang akan kita kata pada anak,"belajar rajin-rajin, bila besar kau jadi DO". Jadi, ini adalah perkara yang mensyirikkan satu negara. Sistem yang ada juga berasal dari orang putih yang tidak ada tasawuf. Hanya fekah yang dikekalkan. Islam perlu ada fekah dan tasawuf. Jika tidak kita akan lihat banyak kemusnahan. Ini yang membuatkan saya berfikir. Saya mengambil keputusan memberhentikan anak saya dari sekolah kerajaan, kemudian pasang niat semula dan hantar semula ke sekolah agama tahfiz. Jadi saya pasang niat kerana Allah untuk dapatkan ilmu Allah dan berjuang mempertahankannya. Jadi sebelum saya berdakwah kepada orang lain saya perlu berdakwah kepada keluarga terlebih dahulu.
Boleh saudara imbau kembali macam mana boleh terbabit dengan industri hiburan?
Dulu saya adalah orang yang follow mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad. Pada masa saya sekolah, Mahathir sedang menggalakkan kekayaan orang Melayu. Bila saya tamat tingkatan lima, saya terpengaruh kehendak Mahathir. Saya datang ke Kuala Lumpur kerana terpengaruh untuk mencari kekayaan. Saya bermula dengan membawa bas sekolah dengan gaji RM350. Pagi dapat gaji, petang dah habis. Gaji saya habiskan dalam satu hari kerana tidak cukup. Kemudian saya jual buah dengan keuntungan mencecah RM600 hingga RM700 sehari. Tapi tidak ada prospek dan saya terpaksa duduk di situ sahaja. Saya ambil keputusan berhenti jual buah. Saya duduk di Pertama Complex selama setahun dan melihat peluang yang ada. Saya lihat Cina berniaga. Kita nak berniaga tapi modal tak ada. Saya ambil kesempatan mana-mana Cina angkat barang, saya tolong. Jadi saya dapatlah upah RM3 hingga RM5. Maklumlah muda lagi. Sehingga saya jumpa bidang bahagian teknikal pengurusan konsert. Saya membabitkan diri dengan kerja ini dari gaji RM7 sehari hingga RM140 sehari. Kemudian saya nampak macam mana nak manage artis, tulis lagu semuanya mendatangkan duit.
Nak jadi kayalah puncanya...
Saya masuk bidang ini memang punca asalnya nak cari kekayaan. Kebetulan pada masa yang sama minat dalam hiburan memang telah lama ada. Tambah pula industri itu tengah meriah denga kumpulan Sweet Charity dan kumpulan lain. Bidang ini kena dengan jiwa serta duit pun dapat. Zaman itulah mulanya sistem royalti, collection daripada badan yang main lagu pada public. Ini menjadikan pendapatan agak lumayan sehingga mencecah RM300 ribu setahun. Pokoknya duitlah segala-galanya. Pengurusan artis adalah sesuatu yang baru pada ketika itu. Mengurus artis juga perlukan daya fikir yang hebat. Dari situlah saya bermula sehingga terlibat dalam bidang lakonan. Maknanya dari belakang hingga ke depan tabir saya buat. Inilah yang membuatkan saya jadi mahir.
Selepas masuk PAS dan meninggalkan dunia hiburan adakah saudara masih menerima tawaran berlakon untuk watak-watak tertentu?
Saya telah mula menolak tawaran. Ini bukan soal PAS tetapi berkaitan soal takwa dan iman saya. Sebelum itu saya telah pergi belajar, talakin, menghadiri kelas agama, hikam dan belajar tauhid semula. Pada masa yang sama, ustaz yang mengajar memikirkan saya cari makan di situ, mereka meminta saya terus bekerja dalam bidang itu. Tetapi meminta saya jangan meninggalkan amalan dan ilmu. Masalahnya kita belajar kemudian berlakon memang tidak boleh kerana ada gangguan. Bila berlakon kita lihat aurat terbuka sana sini.
Walaupun ada watak yang sesuai...
Ya. Walaupun ada watak yang dianggap sesuai tetapi suasana persekitaran dan belakang tabir yang ada. Dengan tidak sembahyangnya, hingga ada ketika tergesa-gesa dalam sembahyang. Maka bila Ustaz Azri Musa mengajak saya menyertai PAS untuk satu baiah maka saya pun menyertainya. Sebelum ini pun semasa remaja memang saya selalu mengikuti bapa saudara saya aktiviti ceramah PAS. Bila saya isytihar masuk PAS, tawaran yang ada telah saya habiskan cuma ada tawaran dua shot yang kemudiannya saya lakukan untuk kali terakhir
Kredit untuk DATUK TARMIZI MOHD JAM dan wartawan INTAN ABDULLAH serta M SHAFRI SAMSUDIN